fb fb fb fb fb

Tujuh cedera jambatan Kampung Bangau-Bangau di Semporna runtuh

Dalam insiden tersebut sebuah pasar ikan berkeluasan 60 x 50 kaki dan sebuah rumah turut runtuh/Foto Ihsan Bomba.

SEMPORNA, 11 April - Tujuh individu termasuk tiga warga asing cedera selepas terbabit insiden jambatan runtuh di Kampung Bangau-Bangau, di sini malam tadi.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jambatan jenis konkrit sepanjang 200 meter itu menghubungkan rumah-rumah perkampungan atas air di kampung berkenaan telah runtuh sepenuhnya.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Polis (SUPT) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kesemua mangsa berumur dalam lingkungan 10 hingga 45 tahun termasuk lima lelaki dan dua perempuan mengalami kecederaan ringan.

"Semua mangsa yang terdiri daripada empat orang warga tempatan dan tiga warga asing berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.

"Mereka telah dibawa ke Hospital Semporna bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala tiga mangsa telah dirawat di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik bomba.

"Turut runtuh sebuah pasar ikan dan sebuah rumah yang didiami lima ahli keluarga.

"Kesemua mereka telah diarah untuk berpindah berikutan struktur rumah tidak selamat untuk diduduki," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Farhan turut menasihati orang ramai agar tidak menghampiri kawasan runtuh bagi memudahkan operasi menyelamat dan mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Satu Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah dibuka di lokasi kejadian bagi menyelaras operasi menyelamat dan memantau keadaan melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain.

GRACE AISYAH KEDAYAN