fb fb fb fb fb

TPM Timor-Leste berlepas ke Dubai, tamat lawatan kerja ke Malaysia

Kalbuadi Lay dan delegasi akan ke destinasi seterusnya iaitu Dubai untuk meneruskan lawatan kerja rasminya.

SEPANG, 6 Disember- Timbalan Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Francisco Kalbuadi Lay berlepas pulang selepas menamatkan lawatan kerja rasminya ke Malaysia selama empat hari.

Pesawat komersial yang membawa beliau berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.20 petang.

Kalbuadi Lay dan delegasi akan ke destinasi seterusnya iaitu Dubai untuk meneruskan lawatan kerja rasminya.

Hadir sama mengiringinya ialah Duta Besar Timor-Leste ke Malaysia, Joana Veneranda Amaral.

Terdahulu, beliau tiba pada Ahad untuk mengadakan lawatan kerja ke Malaysia.

Menerusi lawatan kerja ini, beliau berkesempatan mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Kalbuadi Lay yang juga Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Timor-Leste turut bertemu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing bagi membincangkan potensi-potensi kerjasama di dalam sektor pelancongan antara kedua-dua negara.

Hasil pertemuan itu, kedua-dua negara berhasrat meneroka kerjasama dalam sektor pelancongan dan budaya.

Kedua-dua pemimpin itu turut menantikan kemungkinan mewujudkan penerbangan secara terus ke destinasi pelancongan utama di Malaysia dan Timor-Leste.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menerima menghadap Kalbuadi Lay di Istana Negara, semalam.

Malam tadi, Kalbuadi Lay turut berkesempatan beramah mesra dengan diaspora Timor-Leste pada Sambutan Ulang Tahun ke 48 Proklamasi Hari Kemerdekaan Republik Timor-Leste di ibu negara.

Sambutan itu diadakan bagi memperingati tarikh proklamasi kemerdekaan Timor-Leste pada 28 November 1975.

Artikel Berkaitan:
TPM Timor-Leste rakam penghargaan kepada Malaysia
YDP Agong berkenan terima menghadap TPM Timor-Leste di Istana Negara
Malaysia, Timor-Leste teroka kerjasama dalam sektor pelancongan
Fadillah adakan pertemuan dengan TPM Timor-Leste
Naib PM Timor-Leste adakan lawatan ke Malaysia

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM