KUALA LUMPUR, 30 Disember -Universiti Utara Malaysia (UUM) bukan sahaja mencipta sejarah apabila menjadi lokasi pertama di negara ini yang membangunkan Menara Telekomunikasi Biochar, sekali gus melakar pencapaian penting dalam inovasi pembinaan lestari di Malaysia.
Inisiatif berkenaan memperkukuh peranan universiti sebagai hab penyelidikan dan inovasi, selain membuka lembaran baharu dalam usaha negara mengurangkan jejak karbon serta memelihara kelestarian alam sekitar.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, biochar dihasilkan daripada bahan organik sisa pertanian melalui proses pirolisis dan berfungsi sebagai alternatif mesra alam kepada penggunaan simen konvensional yang menyumbang kepada pelepasan karbon tinggi.
“Biochar ialah arang karbon yang dihasilkan daripada bahan organik seperti sisa kayu, tempurung kelapa, sekam padi dan sisa pertanian melalui proses pirolisis.
"Sebelum ini, pembinaan menara telekomunikasi banyak bergantung kepada simen yang menyumbang kepada pelepasan karbon tinggi. Namun penggunaan biochar sebagai bahan binaan alternatif bukan sahaja lebih mesra alam, malah mampu menyimpan karbon untuk tempoh yang lama, sekali gus membantu melindungi alam sekitar dan kelestarian bumi pada masa hadapan.” katanya menerusi aplikasi 'Google Meet' dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV 1.
Jelasnya, projek perintis itu merupakan hasil kerjasama strategik UUM bersama Kumpulan EDOTC, Yiked Bina Sdn. Bhd. (YBSB), Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) UUM serta PMW International.
Selain mesra alam, menara tersebut turut memenuhi piawaian kejuruteraan dengan tahap kekuatan, kestabilan dan keselamatan yang setara dengan struktur konvensional.
“Daripada sudut pembinaan, penggunaan biochar ini tidak menjejaskan piawaian kejuruteraan yang ditetapkan.
Malah, daripada segi struktur, kekuatan, ketahanan dan prestasi, menara ini didapati lebih lestari dan mesra alam, dengan tahap kestabilan serta keselamatan operasi yang setara dengan menara konvensional. Dalam jangka panjang, ia turut meningkatkan kecekapan penggunaan bahan dan mengurangkan berat keseluruhan struktur menara,” katanya.
Dari sudut kos pula, penggunaan biochar dilihat lebih berdaya saing dalam jangka panjang apabila mengambil kira kos alam sekitar, prestasi struktur serta potensi insentif ESG.
“Daripada sudut kos, penilaian pembinaan ini tidak boleh dilihat berdasarkan kos kewangan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira faktor bukan kewangan.
"Dalam jangka panjang, penggunaan biochar menawarkan kelebihan dari segi penjimatan kos keseluruhan, pengurangan jejak karbon, potensi insentif ESG serta peningkatan nilai reputasi, sekali gus menjadikannya lebih berkesan dan menjimatkan,” katanya.
Dalam pada itu, sebagai universiti pengurusan terkemuka, UUM turut menjadikan menara ini sebagai ‘living lab’, yang memberi manfaat langsung kepada pelajar, staf dan komuniti setempat melalui aplikasi sebenar konsep kelestarian.
“Bila adanya menara ini, kita dapat menunjukkan ‘real case study’ kepada para pelajar. Ini adalah komitmen kita untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja mampu mengurus alam sekitar dan masyarakat, tetapi juga semua aspek kehidupan, bagi menjadikan persekitaran kita lebih lestari.”
“Impak menara ini turut disokong melalui projek perintis yang kami panggil ‘Changlun Transformation Plan’.”
“Bagi menukar idea kepada pelaksanaan, kita perlu memberdayakan dan menggerakkan masyarakat di sekeliling.”
“Sasarannya adalah pada tahun 2035, masyarakat di sekitar Changlun, termasuk kampung-kampung berhampiran, membudayakan amalan kelestarian dan menjaga bumi secara berterusan.”
Maklum balas pemain industri terhadap projek ini juga dilaporkan amat positif, sekali gus menjadikannya bukti konsep penting untuk pelaksanaan lebih meluas di seluruh negara.
Meskipun berdepan cabaran dari segi pengeluaran biochar, pematuhan piawaian teknikal dan rantaian bekalan, kerjasama erat antara universiti, industri dan kerajaan diyakini mampu mempercepatkan peralihan ke arah pembinaan hijau.
Pembangunan Menara Telekomunikasi Biochar membuktikan komitmen Malaysia dalam memacu inovasi lestari, selari dengan agenda pembangunan mampan serta usaha melindungi alam sekitar demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.