fb fb fb fb fb

Jualan Agro MADANI terus jadi pilihan rakyat

Gambar/ RTM

KANGAR, 30 Disember - Lebih 13,000 penduduk setempat tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan harian menerusi pelaksanaan 80 Program Jualan Agro MADANI dan Promosi Produk Usahawan Peladang di Perlis sepanjang tahun ini.

Program anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) itu menawarkan harga barangan yang lebih rendah berbanding harga pasaran.

Pengarah LPP Negeri Perlis, Roshidah Ahmad berkata, program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada pengunjung, malah platform untuk usahawan tempatan memperkenalkan produk agro makanan bawah jenama LPP.

Sepanjang tahun ini, nilai jualan yang dicatatkan menerusi program tersebut hampir mencecah RM600,000 dengan penglibatan lebih 300 usahawan.

Beliau ditemui media pada Program Jualan Agro MADANI Mega dan Promosi Produk Usahawan Peladang di Perkarangan Ibu Pejabat LPP Negeri Perlis di sini.

Program Jualan Agro MADANI Mega ini memberi manfaat kepada 3,000 isi rumah dengan nilai jualan mencecah RM50,000.

Antara produk ditawarkan ialah daging lembu segar, ikan, barangan keperluan harian,produk pertanian termasuk buah-buahan, sayur-sayuran dan anak pokok, serta produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

MASNIZA AWANG KECHIK