fb fb fb fb fb

Naib PM Timor-Leste adakan lawatan ke Malaysia

Naib Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay

PUTRAJAYA, 3 Disember- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan menjadi tuan rumah sempena lawatan kerja oleh Naib Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay bermula Ahad hingga 6 Disember ini.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan menyatakan kedua-dua pemimpin akan bertemu pada Isnin bagi membincangkan status hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste serta isu-isu antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Lawatan kerja itu dijangka akan terus memperkukuh dan mempertingkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara di samping menunjukkan sokongan padu Malaysia ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Kalbuadi Lay di Istana Negara pada Selasa.

Kalbuadi Lay yang juga Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar akan turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing bagi membincangkan potensi kerjasama dalam sektor pelancongan antara kedua-dua negara.

Beliau turut dijadual menghadiri majlis resepsi sambutan ulang tahun pengisytiharan kemerdekaan ke-48 Republik Demokratik Timor-Leste anjuran Kedutaan Republik Demokratik Timor-Leste di Kuala Lumpur dan menyampaikan ucaptama semasa sesi jaringan perniagaan dengan komuniti perniagaan Malaysia dan Dewan Perdagangan.

Pada tahun 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan Timor-Leste adalah berjumlah RM384.48 juta, peningkatan sebanyak 93.3 peratus berbanding tahun 2021 sebanyak RM194.09 juta.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE