PUTRAJAYA, 6 Disember- MIMOS Bhd, agensi pelaksana program Identiti Digital Nasional atau MyDigital ID telah diminta membuka kaunter penerangan pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bagi menangkis dakwaan negatif terhadap sistem pengenalan dan pengesahan diri digital itu.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata beliau meminta MIMOS membuka kaunter MyDigital ID kerana sebelum ini begitu ramai orang yang percaya pada teori konspirasi yang kononnya kena tanam cip dalam badan dan rakam cap jari serta iris pengguna.
Beliau berkata MyDigital ID memudahkan rakyat berurusan dengan sektor awam dan swasta tanpa perlu mengingati pelbagai kata laluan memandangkan sistem itu membolehkan kemudahan single sign on (SSO).
"Pelaksanaan MyDigital ID membolehkan rakyat berurusan dengan mana-mana jabatan kerajaan ataupun swasta termasuk bank memandangkan sistem yang sama akan digunakan untuk pengesahan identiti," katanya.
Mengenai Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari Jumaat hingga Ahad ini, Fahmi berkata program itu bukan untuk bermegah.
"Tetapi ia peluang untuk mendampingi rakyat dan membantu rakyat memahami beberapa perkara yang ditambah baik agar mereka faham usaha kerajaan mengusahakan perubahan yang mendatangkan kebaikan kepada negara," katanya.
Objektif penganjuran program itu untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat, meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan, serta membina kepercayaan dan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.- BERNAMA