
KUALA LUMPUR , 25 Mac – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan Selamat Hari Polis Ke-219 kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta para veteran.
- Baginda menghargai pengorbanan anggota polis yang sentiasa bersedia menjalankan tugas demi keamanan dan kesejahteraan rakyat serta negara.
- Warga PDRM diangkat sebagai benteng utama keselamatan, berkhidmat walau ketika musim perayaan dan dalam situasi kecemasan.
- Seri Paduka berdoa agar Allah melindungi seluruh pasukan polis; Al-Fatihah untuk yang telah pergi, semoga menjadi orang beriman dan syuhada.
Seri Paduka Baginda yang juga Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM, turut menzahirkan penghargaan di atas pengorbanan anggota polis yang sentiasa bersedia menjalankan tugas tanpa mengira masa dan keadaan demi keamanan serta kesejahteraan rakyat dan negara.
Sultan Ibrahim, bertitah pengorbanan warga PDRM yang sentiasa bersedia menjalankan tugas dalam apa jua keadaan, termasuk ketika musim perayaan dan situasi kecemasan, amat dihargai kerana mereka merupakan antara benteng utama keselamatan negara.
“Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala sentiasa melindungi seluruh warga pasukan polis dalam setiap tugas yang dilaksanakan”, titah Baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda.