JBPM Labuan rekod 25 panggilan berkaitan kebakaran terbuka musim perayaan

Foto JBPM Labuan

LABUAN, 25 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan melalui pelaksanaan Rondaan Musim Perayaan sehingga 27 Mac ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan kes kebakaran terbuka terutama kebakaran lalang sepanjang musim perayaan.
  • JBPM Labuan rekod 25 panggilan berkaitan kebakaran lalang antara 14 hingga 24 Mac.
  • Cuaca panas dan kering meningkatkan risiko penyebaran api, mengancam keselamatan awam, harta dan alam sekitar.
  • Balai Bomba Labuan Sentral, Layangan dan Rancha-Rancha giat rondaan; orang ramai dinasihat tidak membakar dan lapor 999.

Langkah itu diambil susulan peningkatan kes kebakaran terbuka sepanjang musim perayaan, khususnya melibatkan kebakaran lalang.

Pengarah JBPM Labuan, Abd Rahman Ali dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 25 panggilan berkaitan kebakaran lalang direkodkan bagi tempoh 14 hingga 24 Mac di sekitar pulau tersebut.

Pemantauan mendapati trend kejadian kebakaran terbuka menunjukkan peningkatan yang membimbangkan, terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering yang boleh menyebabkan api merebak dengan cepat.

Jelas beliau, keadaan tersebut berpotensi mengancam keselamatan awam, harta benda serta memberi kesan kepada alam sekitar.

Sehubungan itu, Balai Bomba dan Penyelamat Labuan Sentral, Layangan dan Rancha-Rancha giat melaksanakan rondaan serta pemantauan di kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan kebakaran sentiasa terkawal.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka termasuk membakar lalang, sampah dan sisa kebun.

Sebarang kejadian kebakaran hendaklah dilaporkan segera dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau balai bomba berhampiran bagi tindakan pantas.

Kerjasama orang ramai amat penting dalam usaha mencegah kebakaran terbuka demi keselamatan bersama.