
KANGAR, 25 Mac – Empat buah rumah di Taman Kemajuan, Kangar musnah dalam kebakaran.
- JBPM menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.31 malam.
- Enam jentera dari Balai Bomba Kangar dan Pasukan Bomba Sukarela Kuala Perlis, Kodiang serta Pauh bergegas ke lokasi.
- Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan 1 Safry Romly dengan 42 anggota, melibatkan pemadaman kediaman tingkat atas berkeluasan 60 X 60 kaki.
- Kebakaran dikawal sekitar pukul 11 malam; operasi tamat kira-kira 3 pagi; tiada kecederaan; forensik akan menyiasat punca; Raja Muda memberi sumbangan awal.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam tadi di Jalan Maju 12, Taman Kemajuan.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis, Penguasa Kanan Bomba 1, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin dalam kenyataannya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 10.31 malam.
“Bertindak atas panggilan kecemasan berkenaan, enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Pasukan Bomba Sukarela Kuala Perlis, Kodiang dan Pauh bergegas ke lokasi kebakaran.
“Operasi pemadaman melibatkan tingkat atas kediaman kelas A berkeluasan 60 X 60 kaki persegi diketuai Pegawai Bomba Kanan 1, Safry Romly dibantu 42 anggota”, katanya.
Kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 11 malam dan operasi tamat kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran yang berlaku dan pihak forensik akan melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan melawat mangsa kebakaran kira-kira pukul 12.30 pagi bagi menyampaikan sumbangan awal.