
SHAH ALAM, 25 Mac – Seorang remaja lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari sebuah pangsapuri di Seksyen 19 Shah Alam, petang semalam.
- Polis terima laporan insiden di Apartment Komuter Raya pada pukul 6.44 petang, 24 Mac.
- Mangsa ditemui orang awam tidak sedarkan diri di bawah bangunan; dikejarkan ke Hospital Shah Alam.
- Pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira pukul 5.40 petang di Zon Merah hospital.
- Tiada unsur jenayah; kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut; hubungi Inspektor Zulhusni Hasani 011-39360779 atau IPD Shah Alam 03-55202222.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Ramsay Embol berkata, pihak polis menerima laporan berhubung insiden di Apartment Komuter Raya itu pada pukul 6.44 petang, 24 Mac.
“Mangsa ditemui oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan bawah bangunan tersebut sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut”, katanya.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira pukul 5.40 petang ketika berada di Zon Merah hospital,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tiada unsur jenayah melalui hasil pemeriksaan di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Zulhusni Hasani di talian 011-39360779 atau IPD Shah Alam di talian 03-55202222.