fb fb fb fb fb

TPM Timor-Leste rakam penghargaan kepada Malaysia

Sambutan Ulang Tahun ke-48 Proklamasi Hari Kemerdekaan Timor-Leste di ibu negara

KUALA LUMPUR, 5 Disember- Timbalan Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Francisco Kalbuadi Lay merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Malaysia kepada negara itu.

Ini termasuk memberi sokongan terhadap permohonan Timor-Leste untuk menyertai Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Timor-Leste menyifatkan Malaysia merupakan antara negara yang sering mempamerkan sokongan padu ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN.

Beliau berkata sebagai ahli pemerhati di ASEAN, Timor-Leste mempunyai peluang besar untuk belajar daripada semua negara anggota ASEAN mengenai mekanisme dan kerja ASEAN.

Beliau juga mengimbau peranan penting Malaysia sebagai salah satu negara yang menghantar pasukan pengaman ke Timor-Leste sebanyak dua kali semasa referendum 1999 dan krisis 2006.

Tindakan solidariti tersebut mempamerkan persahabatan yang erat dan berkekalan antara kedua-dua negara.

Beliau berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-48 Proklamasi Hari Kemerdekaan Republik Timor-Leste di ibu negara.

Sambutan itu diadakan bagi memperingati tarikh Proklamasi Kemerdekaan Timor-Leste pada 28 November 1975.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

ROSLINA BINTI DIN