Bergson, Gallifuoco terlepas aksi berdepan Vietnam, isu pendaftaran belum selesai

Giancarlo Gallifuoco (kiri) dan Bergson Da Silva (kanan)/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Mac– Skuad Harimau Malaya berdepan tamparan hebat apabila dua tonggak utama, Bergson da Silva dan Giancarlo Gallifuoco (GG) sah terlepas aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam akibat isu pendaftaran yang gagal diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua jurulatih Cklamovski mengesahkan Bergson dan GG masih dalam perancangan skuad negara selepas perbincangan bersama.
  • Kedua pemain menyatakan hasrat kuat untuk menyarung jersi negara dan dijangka menyertai kem latihan akan datang.
  • Nacho Mendez diketepikan akibat kecederaan yang dialami dalam perlawanan terbarunya.
  • Pasukan terjejas oleh pemotongan mata hasil penggunaan pemain tidak layak; persiapan bermula di Thailand sebelum ke Nam Dinh 28 Mac.

Ketua jurulatih, Peter Cklamovski mengesahkan kedua-dua pemain yang layak mewakili negara melalui proses kewarganegaraan (naturalisasi) itu tetap berada dalam radar skuad kebangsaan, namun tidak dapat diturunkan untuk perlawanan penting tersebut.

“Situasi Bergson dan GG adalah berbeza. Pendaftaran mereka tidak sempat diselesaikan untuk membolehkan mereka beraksi, jadi keputusan mudah bagi saya adalah untuk tidak memanggil mereka ke kem latihan kali ini.”

“Bagaimanapun, saya sudah berbincang dengan kedua-dua pemain dan mereka menyatakan keinginan yang sangat kuat untuk menyarung jersi negara. Mereka dijangka dapat menyertai kem latihan seterusnya,” katanya.

Selain ketiadaan dua tonggak berkenaan, skuad negara turut kehilangan khidmat pemain warisan, Nacho Mendez.

Cklamovski menjelaskan bahawa Mendez terpaksa diketepikan akibat kecederaan yang dialami dalam perlawanan terakhirnya.

Dalam pada itu, Cklamovski mengakui hukuman pemotongan mata akibat penggunaan pemain tidak layak pada perlawanan tahun lalu merupakan satu tamparan besar buat pasukan.

Kemenangan Malaysia ke atas Nepal (2-0) dan Vietnam (4-0) sebelum ini telah dibatalkan dan direkodkan sebagai kekalahan 0-3, sekali gus menjejaskan kedudukan Harimau Malaya dalam carta kumpulan.

Skuad kebangsaan dijadual memulakan persiapan di Thailand bermula Selasa ini sebelum berlepas ke Nam Dinh, Vietnam pada 28 Mac bagi misi menebus maruah dan menutup kempen kelayakan dengan keputusan positif.