Sultan Pahang seru rakyat berjaga-jaga, elak pembakaran terbuka

Foto RTM

KUANTAN, 23 Mac – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat meningkatkan langkah berjaga-jaga serta tidak melakukan pembakaran terbuka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keadaan cuaca bertambah panas, meningkatkan risiko kebakaran; perlukan perhatian serius.
  • Pastikan pengambilan air mencukupi, kurangkan aktiviti luar tengah hari, beri perhatian kepada golongan berisiko.
  • Pembakaran terbuka boleh mencetuskan kebakaran tidak terkawal dan menjejaskan kualiti udara; tindakan tegas dan pemantauan ditingkatkan.

Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini, baginda bertitah keadaan cuaca semasa memerlukan perhatian serius berikutan peningkatan suhu dan risiko kebakaran.

“Rakyat disaran memastikan pengambilan air mencukupi, mengurangkan aktiviti luar pada waktu tengah hari serta memberi perhatian kepada golongan berisiko,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menegaskan larangan pembakaran terbuka termasuk membakar sampah, daun kering atau sisa kebun kerana boleh mencetuskan kebakaran tidak terkawal dan menjejaskan kualiti udara.

Baginda juga menyeru pihak berkuasa tempatan mempertingkatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran larangan tersebut.

Orang ramai turut digalakkan melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa dengan segera.