fb fb fb fb fb

TNB berjaya uji jana tenaga arang batu bersama ammonia

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 7 Ogos - Ujian pertama pembakaran ammonia bersama arang batu sebagai sebahagian daripada inisiatif nyah karbon sektor tenaga negara menunjukkan hasil positif.

Ujian dijalankan TNB Research Sdn Bhd (TNBR) dan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), anak syarikat milik penuh TNB bersama IHI Power System Malaysia Sdn Bhd (IPSM) dan PETRONAS Hydrogen Sdn Bhd di pusat kemudahan pelantar ujian TNBR di Kajang, baru-baru ini.

Eksperimen pembakaran bersama ammonia itu menempa kejayaan apabila pelepasan karbon dioksida (CO2) dan sulfur dioksida (SO2) yang direkodkan didapati berkurangan mengikut kadar pembakaran.

Malah, tiada kesan tindak balas ammonia pada laluan keluar relau ketika ujian dijalankan dan suhu pembakaran juga tidak menunjukkan perbezaan ketara.

(FOTO IHSAN TNB)

"Hasil ujian dilihat memenuhi objektif eksperimen menuju nyah karbon, lantas mengukuhkan peluang TNB untuk mewujudkan projek rintis stesen janakuasa rendah karbon sekiranya memperoleh persetujuan daripada pihak berkuasa.

"Ujian pembakaran bersama ini diketuai IPSM, pakar dalam pembangunan teknologi pembakaran ammonia," kata TNB dalam satu kenyataan.

Objektif utama ujian itu adalah bagi menentukan kesan pembakaran bersama ammonia sebagai bahan bakar bebas karbon terhadap arang batu dalam sistem penjanaan kuasa berasaskan arang batu.

Media Baharu