Titah Agong jelas, dilaksana tegas Kerajaan MADANI – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir pada Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini/foto BERNAMA

SERDANG, 19 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 sebagai jelas, baik dan wajar dilaksanakan dengan tegas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri setuju titah Agong jelas, baik dan mesti dilaksanakan dengan tegas.
  • Setiap titah dijadikan panduan utama dalam urus tadbir kerajaan MADANI.
  • Agong menasihatkan elak hasutan yang boleh menimbulkan ketegangan antara wilayah.
  • Baginda kecewa dengan skandal rasuah ATM; amaran kemungkinan LLP memimpin jika rasuah berterusan.

“Jelas. Bagus. Dilaksana dengan tegas,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Kerajaan MADANI menegaskan setiap titah tersebut adalah jelas untuk dijadikan panduan utama dalam urus tadbir kerajaan.

Antara titah Sultan Ibrahim ialah berhati-hati untuk tidak melakukan sebarang hasutan sehingga menimbulkan ketegangan antara wilayah.

Seri Paduka Baginda bertitah, sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara matang dan bukan melalui kebencian atau syak wasangka.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan kekecewaan baginda terhadap skandal rasuah yang berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk membabitkan pegawai peringkat tinggi.

Baginda bertitah, tidak mustahil barisan perkhidmatan ATM akan diketuai oleh anggota lain-lain pangkat (LLP), contohnya seorang sarjan, jika isu rasuah terus membelenggu pasukan pertahanan negara.