fb fb fb fb fb

Tingkat pelaburan hijau bagi pertumbuhan ekonomi negara

Foto facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 Januari - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 1 yang membincangkan mengenai strategi dan hala tuju bagi meningkatkan pelaburan dalam negara.

Mesyuarat tersebut memutuskan bahawa pelaburan hijau (green investments) adalah antara bidang yang berpotensi untuk negara yang perlu dipertingkatkan.

Dalam perkongsian di laman sosialnya hari ini, Anwar berkata kerajaan akan membangunkan kerangka dasar beserta pelan khusus bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau.

Ini juga merupakan kesinambungan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk menggerakkan pelaburan ke dalam sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi.

"Terkait dengan penekanan terhadap pelaburan hijau, diputuskan juga bagi menjenamakan projek Kerajaan Persekutuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 iaitu Kerian Integrated Industrial Park, sebagai Kerian Integrated Green Industrial Park," menurut hantaran itu.

Mesyuarat turut membincangkan kepentingan industri semikonduktor yang menyumbang kepada 7.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

"Manakala penubuhan National Semiconductor Strategic Task Force (NSSTF) sebagai satu platform khusus bagi membangunkan ekosistem semikonduktor dan menarik pelaburan strategik," katanya.

Dalam catatan di media sosialnya turut menyatakan, ini merupakan langkah-langkah dalam memastikan pelaksanaan pelaburan ke dalam negara mencapai objektif Ekonomi MADANI termasuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 30 teratas dari segi ekonomi terbesar dunia, dan 12 teratas dari segi daya saing global dalam tempoh 10 tahun.

TETITIA YUSOFF