BARAM, 10 Mac- Tindakan pantas pasukan Bomba berjaya menghalang kebakaran daripada merebak lebih jauh dalam kejadian di Rumah Panjang Ridap, Sungai Pasir, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada pukul 1.59 tengah hari, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi segera dikerah ke lokasi.
Setibanya di tempat kejadian, api sudah merebak dan menjejaskan 10 daripada 23 pintu rumah panjang berkenaan.
Pasukan Bomba bertindak pantas melaksanakan teknik 'fire break', sekali gus berjaya menyelamatkan 13 pintu rumah yang lain daripada turut dijilat api.
Seramai 188 penghuni rumah panjang itu dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 6.41 petang.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.