KUALA LUMPUR, 29 Julai - Tindakan bersepadu akan dilaksanakan bagi menangani kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak secara menyeluruh melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Belia dan Sukan, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ia susulan peningkatan kes secara ketara sejak empat tahun lalu daripada 2,541 kes pada tahun 2020 kepada 3,892 kes pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 53.2 peratus.
Jumlah mangsa juga bertambah daripada 2,561 orang kepada 3,988 orang dalam tempoh sama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara langkah awal yang akan diambil ialah menganjurkan Seminar Perlindungan Kanak-Kanak: Menangani Ancaman Siber dan Jenayah Seksual, November ini.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Sosial Negara (MSN), perkembangan teknologi termasuk penggunaan teknik 'deepfake' atau teknik manipulasi imej dan video, serta pencurian identiti digital menjadikan kegiatan jenayah semakin canggih.
Perkara itu menjadi fokus utama mesyuarat MSN Bilangan 2 Tahun 2025 yang dipengerusikan beliau, hari ini.
Mesyuarat tersebut turut membincangkan pelan jangka panjang Dasar Sosial Negara 2026–2030 yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Oktober depan.