KUALA LUMPUR, 23 Mac – Sebanyak 178,148 tiket bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS), KTM Intercity dan Shuttle Tebrau sempena Aidilfitri, untuk perjalanan antara 28 Mac hingga 6 April 2025, telah habis dijual.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata hanya sembilan peratus tiket masih berbaki, dengan tiket ETS menjadi pilihan paling laris, dan hanya berbaki sekitar 10,958 tiket sahaja.
“Bagi perkhidmatan KTM Intercity, sebanyak 43,920 tiket ditawarkan melibatkan 22 perjalanan merangkumi Shuttle Timur, Ekspres Selatan dan Ekspres Rakyat Timuran.
“Sementara itu, Shuttle Tebrau menawarkan 99,200 tiket bagi laluan Johor Bahru Sentral – Woodlands,” katanya pada sidang media selepas Majlis Edaran Pek Cenderahati kepada Penumpang KTMB Sempena Aidilfitri di Stesen KL Sentral, hari ini.
KTMB turut menawarkan empat perkhidmatan ETS tambahan antara 28 Mac hingga 6 April, melibatkan dua perjalanan bagi laluan KL Sentral – Padang Besar dan dua perjalanan KL Sentral – Butterworth.
Perkhidmatan tambahan itu diperkenalkan selepas tiket tren berjadual sedia ada habis terjual setakat pukul 9 pagi tadi.
Selain itu, KTMB juga menyediakan perkhidmatan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri bagi edisi Pantai Timur dan Utara.
“Tren khas ini menawarkan 312 tiket bagi setiap perjalanan, menjadikan jumlah keseluruhan 1,248 tiket yang mula dijual pada 12 Mac lalu dengan harga antara RM90 hingga RM95 bagi perjalanan sehala,” katanya.