PUTRAJAYA, 5 September - Tiga kawasan perlindungan di Malaysia diiktiraf sebagai Taman Warisan ASEAN (AHP).
Pengiktirafan diberikan kepada Rezab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pahang serta Taman Negara Bako dan Taman Negara Bukit Lambir di Sarawak.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi kenyataan memaklumkan keputusan itu dicapai secara sebulat suara semasa Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Alam Sekitar ke-18 (AMME-18) di Langkawi, Kedah pada 3 September.
AMME-18 dipengerusikan Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
“Pengiktirafan yang diterima oleh Malaysia itu, menambah bilangan kawasan AHP sedia ada di negara ini iaitu Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Taman Negara Kinabalu, Sabah; Taman Negara (Pahang, Kelantan dan Terengganu) pada tahun 1984; serta Taman Negara Johor Endau Rompin pada 2022.
“Dengan pengiktirafan ini, Malaysia yakin ia akan meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa, memperkukuh kerjasama ASEAN dalam bidang biodiversiti dan memastikan warisan alam semula jadi terus dilindungi untuk generasi akan datang,” kata kementerian.
NRES turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pahang dan Sarawak di atas kejayaan berkenaan.
Malaysia yakin pengiktirafan itu akan meningkatkan imej negara di mata dunia, memperkukuh kerjasama ASEAN dalam bidang biodiversiti sekali gus memastikan warisan alam semula jadi terus dilindungi untuk generasi akan datang.