IPOH, 24 November– Tiada mana-mana Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Integrasi Kelas Al Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Perak yang ditutup operasinya dalam tempoh lima tahun ini.
- Tiada SRAR KAFA di Perak ditutup dalam tempoh lima tahun terakhir.
- 16 sekolah ditangguhkan operasi di lima daerah kerana kekurangan murid.
- Penangguhan dibuat mengikut syarat JAKIM dan Enakmen Kawalan Sekolah- Sekolah Agama Islam (Perak) 2025.
- Enakmen menetapkan minimum 20 murid untuk sesuatu sekolah beroperasi.
- Penggabungan sekolah dilaksanakan untuk memastikan kelancaran kelas KAFA dan kebajikan murid.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, 16 sekolah ditangguhkan daripada beroperasi di lima daerah iaitu Larut, Matang dan Selama, Kerian, Hilir Perak, Perak Tengah serta Kuala Kangsar.
Penangguhan itu dilaksana disebabkan jumlah murid yang kurang sebagaimana ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025.
“Enakmen kawalan sekolah-sekolah agam Islam (Perak) 2025 telah menetapkan jumlah tertentu murid bagi membolehkan sekolah berkenaan beroperasi iaitu tidak kurang daripada 20 orang,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Agama Islam Negeri Perak telah melaksanakan penggabungan sekolah yang mengalami kekurangan murid bagimemastikan kelancaran perjalanan kelas KAFA dan kebajikan murid tidak terjejas.
Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh.