fb fb fb fb fb

Tiada restu keluarga, wang hantaran tinggi punca nikah di Thailand

PUTRAJAYA, 10 Januari- Pasangan yang bernikah di luar negara terutamanya di Thailand harus sedar tentang kesan dihadapi mereka di masa akan datang.

Pegawai Penyelidik Hakim Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Abdul Halim Muhammad berkata, pernikahan berkenaan tidak melanggar syarak di sisi Islam sekiranya memenuhi rukun nikah.

Bagaimanapun, beberapa perkara harus disemak sebelum terjebak dengan sindiket atau proses pernikahan yang tidak sah.

"Apabila pernikahan tidak sah maka kesan mendatang lain akan muncul. Antaranya, isteri yang dikahwini akan hilang kelayakan untuk menuntut hak-hak sebagai isteri, termasuk tuntutan harta sepancarian. Ia akan merugikan bakal isteri ataupun isteri yang dikahwini jika perkara tersebut berlaku. Anak-anak juga mendapat tempias jika perkahwinan tidak sah ini berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Berdasarkan Seksyen 40 (2) Akta 303 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, jika pasangan tersebut lewat dan gagal mendaftarkan perkahwinan melebihi enam bulan, mereka akan didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.


(Mahkamah Syariah di Malaysia adalah medan terbaik bagi suami ingin berpoligami

dengan menggunakan saluran undang-undang yang betul)

Abdul Halim berkata mengikut kajian, pasangan yang memilih bernikah di Thailand adalah berdasarkan beberapa faktor antaranya tidak mendapat restu keluarga, suami yang ingin berpoligami tanpa pengetahuan isteri serta desakan wang hantaran yang tinggi.

Beliau menegaskan, mahkamah Syariah di Malaysia adalah medan terbaik bagi suami ingin berpoligami dengan menggunakan saluran undang-undang yang betul.

Beliau turut menasihati golongan lelaki agar memahami secara menyeluruh tujuan berpoligami bagi mengelak perbalahan dan kegagalan membahagi hak sama rata sehingga menyebabkan kesengsaraan dalam institusi keluarga.

Media Baharu