fb fb fb fb fb

Terap budaya ilmu dalam lawatan ke zoo

Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Januari- Budaya ilmu mampu diterapkan menerusi lawatan ke Zoo Negara selain menjadikan lokasi itu sebagai medan pendidikan dan pengajaran empirikal kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar turut menggalakkan pengunjung membawa buku catatan atau peranti pintar untuk mencatat penerangan dan informasi sepanjang lawatan. 

"Ada 50 penerangan, dalam masa tiga empat jam mungkin tidak dapat diingat semuanya. Jadi saya minta pengurus apabila anak-anak sekolah masuk ke sini, pesan untuk membawa nota buku catatan atau peranti pintar untuk mencatat ilmu disampaikan.

"Pengajaran empirikal melihat dan mendapat maklumat tambahan itu tidak sering diperoleh dalam bilik kuliah. Kita mulakan budaya ilmu di zoo," katanya dalam Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara di ibu negara.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato' Sri Huang Tiong Sii dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing turut hadir pada majlis itu.

Majlis itu diadakan bagi memperingati enam dekad peranan Zoo Negara dalam usaha konservasi hidupan liar, pendidikan dan kesedaran masyarakat tentang alam sekitar. 

Dalam perkembangan lain, berkenaan tempoh pelanjutan pinjaman panda Gergasi yang akan berakhir tahun ini Malaysia akan menghubungi kerajaan China untuk membincangkan perkara berkenaan.

Bagaimanapun Anwar optimis hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang memungkinkan mekanisme dicapai bagi membolehkan pelanjutan tempoh pinjaman tersebut. 

"Mengenai panda gergasi saya akan membawa perkara ini kepada Presiden China Xi Jinping untuk melihat mekanisme yang akan datang untuk melanjutkan panda tinggal di Malaysia... dan mengetahui hubungan kecemerlangan kami dua pihak dan optimis kami akan beri sedikit pertimbangan," katanya dalam Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara di sini.

Pasangan Panda Gergasi, Fu Wa dan Feng Yi dipinjamkan kepada kerajaan Malaysia pada 2014 untuk tempoh 10 tahun, sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan China. 

Istimewa pada hari ini ialah kemasukan percuma untuk kanak-kanak berusia 3 tahun sehingga 12 tahun tajaan Habib Jewels Sdn. Bhd. 

Serta, kemasukan percuma kepada warga emas berusia 60 tahun dan keatas sebagai simbolik ulang tahun ke-60 Zoo Negara. 

Zoo Negara dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 14 November 1963 dan dirasmikan Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. 

Lokasi yang berkeluasan 63 ekar itu menempatkan 306 spesis hidupan liar berjumlah 3,586 ekor, terdiri daripada mamalia, burung, reptilia, amfibia, serangga dan ikan. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI