ARAU, 12 Jun -Tentera Darat Malaysia (TDM) akan sentiasa menumpukan aspek kesiapsiagaan dan pengukuhan organisasinya.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, TDM perlu terus membangun dan meningkatkan keupayaannya agar sejajar dengan perubahan semasa, khususnya dalam perkembangan teknologi dan siber.
Tentera Darat juga akan terus mengukuhkan komitmen untuk membantu kerajaan dan rakyat dengan memperlengkapkan pasukan dalam aspek keanggotaan dan aset yang bersesuaian.
"Ini bagi menghadapi bencana, membuat perancangan awal atur gerak serta mengukuhkan hubungan dengan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan agensi-agensi yang lain." titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah, bahawa agenda meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga juga perlu menjadi keutamaan TDM.
"Dengan menjaga kelestarian hidup dan kebajikan warga, sudah pasti mereka akan dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan." titah baginda.
Terdahulu baginda merasmikan Perbarisan Pelancaran Latihan Sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah di perkarangan C-MART Kompleks Tok Arau, Kota Raja Arau.
Seramai tiga pegawai dan 44 anggota lain-lain pangkat Sukarela Askar Wataniah dari Rejimen 504 Askar Wataniah terlibat dalam perbarisan tersebut.