KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Dua kenderaan rosak hampir terjatuh ke dalam longkang apabila tebing sungai di Taman Lembah Maju, Ampang dekat sini runtuh berikutan hujan lebat berterusan di ibu negara.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dalam satu kenyataan berkata, insiden kira-kira pukul 7.00 malam itu tidak melibatkan sebarang mangsa.
"Sebaik tiba, didapati berlaku kejadian tebing runtuh berhampiran sungai terbabit yang berketinggian 10 meter menyebabkan dua kenderaan yang diparkir di situ hampir masuk ke dalam longkang.
"Kes kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada 8.27 malam," katanya.
Berhubung kejadian itu pihaknya telah menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.14 malam.