
KUALA LUMPUR, 9 JULAI – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat berkaitan Taufan Bavi yang dikesan berada pada kira-kira 1,896 kilometer (km) di timur laut Sandakan, Sabah.
- MetMalaysia mengeluarkan nasihat berkaitan Taufan Bavi.
- Dikesan kira-kira 1,151 km tenggara Taipei, bergerak ke barat barat laut 20 km/j, potensi kelajuan maksimum 185 km/j.
- Tidak memberi kesan signifikan ke Malaysia tetapi boleh mengukuhkan Monsun Barat Daya, tingkatkan angin serta risiko garis badai di Pantai Barat Sabah dan Labuan.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, taufan itu kini berada pada kedudukan kira-kira 1,151 km di tenggara Taipei, Taiwan.
“Berdasarkan pencerapan pada pukul 8 pagi, taufan itu bergerak ke arah barat barat laut dengan kelajuan 20 kilometer sejam (km/j) dan berpotensi mencapai kelajuan maksimum 185 km/j.
“Bagaimanapun, taufan itu tidak memberi kesan signifikan terhadap Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu media melaporkan, pengaruh Taufan Bavi di barat Lautan Pasifik dijangka mengukuhkan aliran Monsun Barat Daya, sekali gus menyebabkan peningkatan kelajuan angin serta risiko pembentukan garis badai di Pantai Barat Sabah dan Labuan bermula Khamis hingga 11 Julai ini.