fb fb fb fb fb

Tarif air Melaka, kadar baharu diumum Rabu ini

Abd Rauf berkata Melaka optimis menerima lebih RM10 bilion nilai pelaburan asing masuk ke negeri itu sehingga akhir tahun ini.

DURIAN TUNGGAL, 22 Januari- Kadar baharu tarif air Melaka akan diumum Rabu ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata beliau memberi jaminan, kadar baharu berkenaan tidak akan membebankan rakyat negeri itu.

"Jadi kita akan melihat di Melaka dalam formula yang ada, berapa jauh sampai 22 sen yang Melaka boleh sampai. Nanti hari Rabu saya akan beritahu, tetapi prinsipnya sama, Johor, Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, Perlis paip air kita pun telah pergi kepada puluhan tahun yang memerlukan penyelenggaraan atau pertukaran paip itu mesti dibuat pada waktu ini, kalau tidak nanti akan membekalkan air hanya 60 peratus, lagi 40 peratus hilang dalam tanah," kata Ab Rauf selepas merasmikan bangunan baharu Audemars, kawasan Industri Angkasa Nuri di sini.

Katanya, tindakan itu adalah satu tindakan yang bijak dalam menaik taraf paip-paip bawah tanah bagi memberi bekalan air bersih terbaik kepada rakyat.

Minggu lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dikuatkuasakan bermula 1 Februari depan, membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.
 
Pelarasan tarif air itu akan dilaksanakan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.

Dalam pada itu, Abd Rauf berkata Melaka optimis menerima lebih RM10 bilion nilai pelaburan asing masuk ke negeri itu sehingga akhir tahun ini.

Ab Rauf berkata setakat suku ketiga tahun lalu sahaja, Melaka telah menerima RM4.77 bilion nilai pelaburan dan ia dijangka terus meningkat tahun ini.

Katanya, ia adalah satu satu pencapaian memberansangkan sektor pelaburan negeri itu.

"Pada seluruh negeri Melaka kita telah melepasi sasaran pada peringkat awam tahun ini RM4.77 bilion disasarkan setahun. Sasaran setahun di Melaka adalah sebanyak RM5 bilion tetapi tahun ini saya yakin dengan kerjasama pihak MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) yang bekerja kuat bersama-sama pelaburan masuk ke Melaka, kita akan melepasi lebih RM10 bilion pelaburan yang akan masuk pada hujung tahun ini," kata Ab Rauf.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM