YAN, 6 Februari- Tapak Arkeologi Bukit Choras di daerah Yan akan dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada para pengkaji sejarah dan pengunjung.
Ia termasuk membina pagar di sekeliling kawasan tapak arkeologi berkenaan, tangga untuk memudahkan pendakian serta bumbung sebagai tempat untuk berteduh.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, kerja-kerja naik taraf tersebut akan dilakukan dengan sokongan dan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta jabatan-jabatan dan agensi-agensi bawahnya.
"Tapak arkeologi berkenaan berpotensi untuk diangkat sebagai satu lagi produk pelancongan di Kedah.
"Penemuan dua arca patung dan batu bertulis dengan huruf Pallava abad kelapan Masihi menyebabkan ia menjadi perhatian umum terutama peminat dan pengkaji sejarah," katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan kerja ke Candi Bukit Choras, di sini.
Penemuan itu boleh dijadikan rujukan dan dikongsikan sebagai bukti peradaban dan teknologi kerajaan Kedah Tua, selain mencungkil kisah kegemilangannya.
Candi Bukit Choras merupakan satu-satunya tapak yang terletak di luar kawasan Sungai Muda dan Sungai Muda di Lembah Bujang.
Ia mempunyai kaitan dengan sejarah dan budaya setempat serta kedudukannya yang dikelilingi alam semula jadi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Mohd Fauzi Mustaffa; dan Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, USM, Prof Habibah A.Wahab.