LANGKAWI, 28 Februari- Penambahan perkhidmatan feri ke Langkawi khususnya dari Thailand dilihat berpotensi meningkatkan jumlah pengunjung ke pulau tersebut.
Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia Tenggara), Tourism Malaysia, Mohd Shahrir Mohd Ali berkata cadangan tersebut mengambil kira jarak dekat destinasi tersebut dengan kepulauan di selatan Thailand.
Usaha tersebut juga selaras usaha meningkatkan kerjasama kedua negara seperti dibincangkan pada pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatan dari Thailand, Srettha Thavisin, November lalu.
“Jadi kita merancang mungkin kerjasama dengan Thailand, seperti kemasukan pelancong dari Phuket dan Krabi untuk turut datang ke Langkawi”.
“Sebelum ini juga ada perkhidmatan feri dari Satun ke Langkawi. Diharapkan kekerapan feri ini boleh ditambah”, katanya kepada media semasa penganjuran Routes Asia 2024 di Langkawi.
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan kehadiran tiga juta pelancong ke pulau tersebut tahun ini.
Dalam pada itu, inisiatif Geran Padanan Penerbangan Carter pula diharap mampu menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan untuk membawa penumpang ke Malaysia. Antara negara dengan permintaan yang tinggi termasuk dari China dan India.
Pihaknya juga meletakkan sasaran kemasukan pelancong dari China mencecah jumlah 3 hingga 5 juta daripada sasaran keseluruhan 27.3 juta tahun ini.