IPOH, 11 Februari - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) bersama Kolej Antarabangsa Taj (TIC) mengambil inisiatif mengadakan Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) kepada golongan asnaf terpilih di negeri ini.
Seramai 30 peserta terpilih berjaya menamatkan kursus selama enam bulan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata menariknya setiap peserta asnaf yang terlibat telah diberi penempatan kerja di taska sekitar Perak.
"Kesemua peserta ini telah diberikan penempatan kerja. Ini satu usaha yang dibuat MAIPK dan tanggungjawab kami sebagai penyedia latihan untuk memberi pekerjaan kepada golongan asnaf," katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Penutup Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) di Dewan TIC, di sini.
Pada majlis itu, turut disampaikan sumbangan tablet dan elaun kepada peserta asnaf yang terlibat.