
- 4,200 pelajar Sabah dan Sarawak mendapat peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun.
- Kerajaan akan runding rasmi dengan Sarawak untuk memuktamadkan kerangka Zon Ekonomi Khas Sibu, termasuk insentif dan pusat pemudah cara pelaburan.
- Pemasangan Sistem Statcom di Dam Road dan Segaliud bernilai RM204 juta, dan projek Southern Link diteruskan bagi kestabilan bekalan elektrik Sabah.
- Peruntukan RM3.3 bilion untuk projek jalan raya, SST dikeluarkan untuk Pan Borneo Miri; RM350 juta untuk penyelenggaraan jalan Persekutuan.
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan bersetuju menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif berkenaan memberi peluang kepada 4,200 pelajar dari kedua-dua negeri itu melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun.
Jelas beliau, yang juga Menteri Kewangan, selain memperluas akses pendidikan, kerajaan turut meneruskan usaha memperkukuh pembangunan ekonomi dan infrastruktur di Sabah dan Sarawak menerusi beberapa inisiatif strategik.
“Kerajaan bersetuju untuk menggandakan tawaran tajaan JPA kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak. Bermakna, seramai 4,200 anak Sabah dan Sarawak mendapat peluang melanjutkan pengajian ke menara gading setiap tahun,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan rasmi dengan Kerajaan Sarawak bagi memuktamadkan kerangka pembangunan Zon Ekonomi Khas Sibu.
Rundingan itu meliputi penetapan insentif, penubuhan pusat pemudah cara pelaburan sehenti serta keperluan infrastruktur strategik bagi menyokong pembangunan zon ekonomi berkenaan.
Bagi memperkukuh kestabilan bekalan elektrik di Sabah, kerajaan bersetuju melaksanakan pemasangan Sistem Statcom di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta.
“Kerajaan bersetuju melaksanakan pemasangan Sistem Statcom di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta. Sementara itu, projek Talian Penghantaran Southern Link diteruskan sebagai ikhtiar jangka panjang kelangsungan bekalan elektrik di Sabah,” ujarnya.
Dalam aspek pembangunan infrastruktur jalan raya, peruntukan berjumlah RM3.3 bilion disediakan bagi meneruskan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak.
Sijil Setuju Terima (SST) bagi projek Lebuhraya Pan Borneo di Seksyen Miri telah dikeluarkan, manakala bagi Seksyen Limbang dan Lawas dijangka dikeluarkan menjelang akhir tahun ini.
Perdana Menteri berkata Projek Sarawak-Sabah Link Road 1 dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B pula disasarkan siap pada penghujung tahun depan.
Selain itu, sebanyak RM350 juta diperuntukkan khusus bagi kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan di Sabah dan Sarawak yang akan dilaksanakan oleh kontraktor Gred G1 hingga G4.
Langkah itu bertujuan memastikan pembangunan infrastruktur terus diperkukuh, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan kemudahan asas untuk penduduk di kedua-dua negeri.
Perdana Menteri berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan MADANI kelima tahun 2027 di Dewan Rakyat hari ini.