
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Sabah dan Sarawak kekal menerima peruntukan tertinggi daripada kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027, masing-masing berjumlah RM18.7 bilion dan RM16.2 bilion.
- Kadar Pemberian Khas untuk Sabah dan Sarawak dinaikkan tiga kali; bayaran interim RM1.5 bilion akan dilunaskan sebelum hujung tahun.
- Kerajaan MADANI memuktamadkan 12 perkara berkaitan MA63 termasuk penempatan wakil LHDN dan penyerahan Pelabuhan Bintulu serta MASWings kepada Sarawak.
- Kuasa kawal selia elektrik diserahkan kepada Sabah manakala Persekutuan menyediakan RM600 juta bagi menjamin kelangsungan bekalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan untuk Sabah meningkat daripada RM17.6 bilion tahun ini, manakala Sarawak menerima RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion.
Selain itu, kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak turut dinaikkan sebanyak tiga kali dengan kadar interim terkini berjumlah RM1.5 bilion.
Bayaran itu akan dilunaskan sebelum hujung tahun, sementara rundingan bersama kedua-dua negeri diteruskan bagi memuktamadkan formula tahunan yang adil dan mampan.
“Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus dilihat sebagai sebahagian daripada waad nasional atau tanggungjawab nasional yang mesti dijawab secara nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai MA63, Datuk Seri Anwar memaklumkan, sebanyak 12 perkara berkaitan telah dimuktamadkan di bawah Kerajaan MADANI.
Antaranya ialah penempatan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), selain penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak.
“MASWings turut diserahkan kepada Sarawak dan kini menjadi AirBorneo, manakala kerajaan Persekutuan masih menyediakan subsidi RM209 juta yang memberi manfaat kepada 820,000 penumpang di kawasan pedalaman,” katanya.
Bagi Sabah, kuasa kawal selia elektrik telah diserahkan kepada kerajaan negeri, sementara Kerajaan Persekutuan masih menyediakan RM600 juta bagi menjamin kelangsungan bekalan.