Taburan hujan tinggi, beberapa kawasan di Melaka banjir

Taburan hujan yang tinggi di beberapa kawasan sekitar Melaka

PAYA RUMPUT, 11 Julai – Taburan hujan yang tinggi di beberapa kawasan sekitar Melaka bermula kira-kira pukul 6.00 pagi tadi menyebabkan banjir di kawasan penempatan rendah.

RINGKASAN BERITA AI
  • 21 daripada 41 stesen JPS merekodkan taburan hujan melebihi 100 milimeter setakat 5.00 petang.
  • Air sungai melimpah, kawasan berhampiran sungai terjejas teruk; lima pusat pemindahan sementara dibuka.
  • Kerajaan negeri berkata isu bukan kegagalan pam, tetapi longkang dan parit tidak diselenggara; tindakan penambahbaikan akan diambil.

Menurut Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin, sehingga pukul 5.00 petang, 21 daripada 41 stesen hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di seluruh negeri itu merekodkan taburan hujan melebihi 100 milimeter.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu dengan taburan hujan yang sangat tinggi menyebabkan air sungai melimpah. Akibatnya, kebanyakan kawasan yang berhampiran sungai terjejas teruk.

“Isunya bukan kerana pam tidak berfungsi atau kolam takungan tidak diselenggara. Memang ada beberapa longkang dan parit yang tidak diselenggara dengan baik, dan perkara itu telah kita ambil maklum untuk tindakan serta penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi banjir di Taman Bukit Rambai Utama, di sini hari ini.

Setakat ini, lima pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negeri, membabitkan empat di daerah Melaka Tengah dan satu di Alor Gajah, iaitu di Masjid Tanah.

Bacaan taburan hujan juga melepasi paras yang direkodkan ketika Ribut Senyar pada November tahun lalu dan berada pada tahap sangat lebat dan dikategorikan sebagai kritikal.

Antara lokasi yang merekodkan bacaan tertinggi ialah Stesen Hujan Pusat Pertanian Sungai Udang dengan 174.5 milimeter, diikuti Stesen hujan Solok Duku 163.5 milimeter, Stesen hujan UiTM Lendu 146 milimeter dan Stesen Hujan Empangan Bertam Hulu 143.5 milimeter.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.