
CAMERON HIGHLANDS, 11 Julai – Kementerian Kewangan (MOF) akan terus memantau pelaksanaan Program BUDI Diesel bagi memastikan penyelarasan subsidi diesel memenuhi keperluan rakyat, termasuk meneliti keperluan kumpulan pengguna tertentu yang memerlukan kuota tambahan.
- Pelaksanaan BUDI Diesel sejak 1 Julai berjalan lancar; lebih 300,000 pemilik menggunakan MyKad untuk diesel bersubsidi RM2.10 seliter.
- Tambahan kuota 100 liter diluluskan untuk pemilik jip dan pickup, disasarkan kepada pekebun dan peniaga di kawasan pedalaman.
- Lebih 200,000 pemilik telah diluluskan bagi kuota tambahan; yang belum memohon diingatkan buat permohonan melalui BUDI MADANI atau pejabat LHDN.
- Kemudahan pemindahan kuota keluarga disediakan; lebih 5,000 permohonan pemindahan telah diluluskan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, pelaksanaan BUDI Diesel yang bermula sepenuhnya pada 1 Julai lalu setakat ini berjalan lancar tanpa sebarang isu besar.
Menurut beliau, lebih 300 ribu pemilik kenderaan diesel telah menggunakan MyKad bagi mendapatkan diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.
Katanya, kerajaan turut menyediakan tambahan kuota sebanyak 100 liter kepada pemilik kenderaan pacuan empat roda dan jip yang mempunyai keperluan penggunaan lebih tinggi seperti pekebun dan peniaga di kawasan pedalaman.
“Kementerian Kewangan sudah meluluskan lebih 200 ribu pemilik jip dan pickup untuk 100 liter tambahan, tetapi masih terdapat ratusan ribu lagi yang belum memohon.
“Mereka diingatkan agar memohon. Permohonan boleh dibuat secara mudah di laman web BUDI MADANI ataupun di mana-mana pejabat LHDN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemantauan penggunaan minyak diesel bawah Program BUDI Diesel di Cameron Highlands, Pahang.
Tambah Tan Sri Johan, kerajaan turut menyediakan kemudahan pemindahan kuota subsidi diesel dalam kalangan ahli keluarga terdekat bagi kes pemilik dan pengguna kenderaan merupakan individu yang berbeza.
Setakat ini, lebih 5,000 permohonan pemindahan kuota telah diluluskan.
Mengulas rungutan mengenai kuota 200 liter yang didakwa tidak mencukupi, beliau berkata kerajaan akan terus memantau corak penggunaan sebenar sebelum mempertimbangkan sebarang penambahbaikan.
Menurutnya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, kuota 200 liter mencukupi bagi lebih 80 peratus pengguna diesel, manakala kuota 300 liter memenuhi keperluan hampir 95 peratus pengguna.
Beliau menegaskan, Kementerian Kewangan juga sedang meneliti keperluan kumpulan khusus termasuk pemilik bot berenjin diesel di Sabah dan Sarawak serta penggunaan janakuasa di kawasan pedalaman, selaras dengan prinsip penyasaran subsidi.