fb fb fb fb fb

SWM Environment jangka peningkatan sisa di Johor sempena Aidilfitri

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 14 Mac - SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menjangkakan jumlah janaan sisa di Johor akan meningkat sekitar lima hingga 10 peratus menjelang dan ketika Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, pelbagai strategi operasi Hari Raya Aidilfitri akan dilaksanakan bermula 30 Mac hingga 5 April untuk 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ia bagi memastikan operasi kutipan berjalan lancar dan memberi keselesaan kepada penduduk semasa sambutan. Antaranya, jadual kutipan akan diawalkan sehari bermula 30 Mac dan akan kembali seperti biasa pada 1 April.

Pihaknya juga akan memfokuskan kepada 120 lokasi tumpuan dengan berkepadatan penduduk beragama Islam seperti Johor Bahru, Kulai dan lain-lain.

"Kita sudah kenal pasti sebanyak 120 lokasi tumpuan yang mana akan ada peningkatan ataupun lambakan sisa. Jadi 1 syawal itu nanti 120 lokasi ini nanti pekerja-pekerja kita akan pantau, selia dan kawal keadaan sekiranya ada keperluan untuk menambahkan  frekuensi kutipan. Jadi mereka akan datang dan membuat kutipan bagi memastikan rakyat Johor sentiasa berada dalam keadaan selesa untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri," kata Norlisam.

Beliau ditemui semasa Sidang Media Operasi Pengurusan Sisa Pepejal Sempena Hari Raya Aidilfitri di Tapak Parkir Padang Bola Sepak Kampung Melayu Majidee, di sini.

SWM Environment juga akan memberikan tumpuan khusus di lokasi seperti pusat bandar melibatkan skop kerja sapuan jalan pada 1 Syawal dan pengurusan sisa pukal, sisa kebun serta barangan kitar semula, menerusi Perkhidmatan Kutipan +1 berjadual satu kali seminggu.

Sebanyak 250 buah lori kutipan +1 di Johor seperti lori Roll On Roll Off (RORO) akan diaturkan bagi memberi manfaat kepada penduduk untuk mengemas rumah masing-masing sepanjang dua minggu terakhir Ramadan.

Seramai 5,000 anggota bersama 620 buah kenderaan berjentera akan bertugas sepanjang melaksanakan Strategi Operasi Hari Raya Aidilfitri.

TETITIA YUSOFF