
JOHOR BAHRU, 8 September – Johor bersedia melakukan operasi pembenihan awan (OPA) sekiranya terdapat mana-mana 17 empangan di negeri ini mengalami penyusutan sebagai persediaan berdepan fenomena Super El Nino dijangka antara Oktober hingga Disember depan.
- Pemantauan harian mendapati paras air empangan masih stabil, kecuali Empangan Gunung Pulai pada tahap berjaga-jaga.
- Kerajaan negeri akan menyelaraskan operasi pembenihan awan bersama NADMA sekiranya perlu.
- Belum ada permintaan pembenihan awal kerana keadaan cuaca masih hujan.
- Inisiatif tambahan termasuk mengepam air antara sumber dan tambah kapasiti pam Machap untuk pelepasan ke sungai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan, setakat ini, pemantauan yang dilakukan setiap hari mendapati paras air empangan masih stabil dan terkawal kecuali Empangan Gunung Pulai pada tahap berjaga-jaga.
Menurutnya, sekiranya perlu, kerajaan negeri akan menyelaraskan operasi OPA dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Antara kawasan yang berisiko dan perlu diberi perhatian ialah Empangan Gunung Pulai. Setakat ini, pihak negeri belum mengemukakan permintaan untuk melakukan pembenihan awal berikutan keadaan cuaca yang masih hujan.
“Bagaimanapun, kita cuba membuat persediaan lebih awal sebelum berlakunya fenomena Super El Nino pada Oktober nanti.
“Setakat ini, mesyuarat penyelarasan telah dilaksanakan dan saya juga telah berhubung rapat dengan Pengarah NADMA bagi memastikan segala persiapan berada pada tahap yang sewajarnya,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Libat Urus Bersama Pemandu Teksi Sempena Tahun Melawat Johor 2026 di sini.
Mohamad Fazli juga berkata, selain OPA, beberapa inisiatif tambahan akan dilakukan bagi memastikan bekalan air terus mencukupi sekiranya berlaku kemarau.
Antaranya termasuk mengepam air dari sumber air ke satu sumber air lain, selain menambah kapasiti pam di Empangan Machap bagi memastikan pelepasan air ke sungai dapat ditingkatkan untuk keperluan loji rawatan air.