fb fb fb fb fb

Sultan Selangor berkenan beri sumbangan Aidilfitri kepada 489 asnaf

Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua kanan) berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada asnaf hari ini. Turut hadir Anwar Ibrahim (dua kiri) dan Amirudin Shari (tiga kiri)

SHAH ALAM, 3 April- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli ke majlis berbuka puasa bersama kira-kira seribu rakyat jelata di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 489 asnaf dari daerah Petaling Jaya dengan nilai keseluruhan berjumlah RM244,500.

Sultan Sharafuddin juga berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada dua syarikat iaitu Sime Darby Property Berhad berjumlah RM2 juta dan Celcom Digi Berhad sebanyak RM1.36 juta.

Baginda kemudian menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah.

Turut berkenan berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

SITI AISHAH MD ISA