Sultan Selangor berkenan serah sumbangan kepada 501 asnaf, kunci simbolik Klinik Mata Wakaf

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 20 Februari– Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Selangor berkenan menyampaikan sumbangan kepada 501 asnaf terdiri daripada fakir, miskin dan mualaf.
  • Baginda menerima bayaran zakat perniagaan daripada enam organisasi bernilai kira-kira RM11.47 juta.
  • Sultan menerima penyerahan kunci simbolik Klinik Mata Wakaf Selangor kepada Universiti MSU bernilai kira-kira RM419,000.
  • Majlis diisi dengan berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, Isyak serta solat sunat Tarawih bersama rakyat.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Baginda yang diiringi Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 501 asnaf terdiri daripada fakir, miskin dan mualaf.

Dalam majlis sama, Sultan Selangor berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada enam organisasi yang berjumlah kira-kira RM11.47 juta serta penyerahan kunci simbolik Klinik Mata Wakaf Selangor kepada Universiti MSU bernilai kira-kira RM419,000.

Selain itu, baginda turut menerima cek wakaf korporat daripada Public Islamic Bank Berhad berjumlah RM1 juta dan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebanyak RM50,000.

Majlis diteruskan dengan keberangkatan baginda berbuka puasa serta menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih bersama rakyat.