
TEMERLOH, 22 Mac– Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Pahang yang berlangsung di Lanchang, hari ini.
- Majlis disambut meriah oleh kira-kira 20,000 rakyat pelbagai lapisan masyarakat.
- MB Wan Rosdy: majlis ini platform terbaik mengeratkan ukhuwah dan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat.
- Majlis membolehkan rakyat pelbagai latar belakang berkumpul, beramah mesra dan berinteraksi langsung dengan barisan kepimpinan negeri.
- Pendekatan majlis memupuk semangat perpaduan serta memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat dalam suasana Aidilfitri yang penuh keberkatan.
Keberangkatan paduka baginda berdua turut diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Kehadiran keluarga diraja itu disambut meriah oleh kira-kira 20,000 rakyat pelbagai lapisan masyarakat yang tidak melepaskan peluang memeriahkan sambutan Aidilfitri dalam suasana penuh harmoni.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, majlis anjuran Pejabat Daerah Temerloh itu menjadi platform terbaik bagi mengeratkan ukhuwah serta silaturahim antara pemimpin dan masyarakat.
Menurut beliau, majlis tersebut membolehkan rakyat daripada pelbagai latar belakang berkumpul, beramah mesra, serta berinteraksi secara langsung dengan barisan kepimpinan negeri.
“Hasrat kita hari ini adalah untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri pada hari raya kedua bagi mengeratkan ukhwah dan silaturahim. Selain menikmati hidangan, perkara yang paling penting adalah kebersamaan kita dalam majlis sebegini.”
“Memandangkan sukar untuk kita berkunjung dari rumah ke rumah dalam jumlah yang ramai, majlis ini memberi peluang untuk kita bertemu sekali gus bersalam-salaman dan bermaaf-maafan,” kata Datuk Seri Wan Rosdy kepada pemberita, hari ini.
Tambah beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja memupuk semangat perpaduan, malah memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat dalam suasana Aidilfitri yang penuh keberkatan.