LANGKAWI, 4 Oktober – Kebanyakan stesen minyak di sekitar Langkawi, Kedah mengambil inisiatif membuka kaunter penerangan khusus bagi memudahkan orang ramai memahami pelaksanaan inisiatif subsidi petrol RON95 bawah program BUDI MADANI RON95 atau BUDI95.
Tinjauan RTM Langkawi mendapati langkah itu mengurangkan kekeliruan pelanggan selain membantu melancarkan urusan pembelian petrol bersubsidi menggunakan kad pengenalan masing-masing.
Bagi warga emas, Haji Baharum Mustafa, beliau menyifatkan pelaksanaan sistem tersebut sangat membantu, malah penggunaannya juga mudah dengan bantuan petugas di stesen minyak.
“Pertama kali guna, saya pun tak sempat nak kemas kini, tapi orang Petronas tolong bantu. Saya isi RM50, dapat lebih RM15 — kerajaan bagi, Alhamdulillah. Kalau tangki kecil dapat sikit, tangki besar lagi seronoklah,” katanya.
Penduduk Langkawi, Ooi Ley Kin, turut melahirkan rasa puas hati dengan kemudahan yang disediakan serta bantuan mesra daripada kakitangan stesen minyak.
“Senang, individu yang membantu untuk memudahkan urusan ini juga sangat baik. Selalu senyum, dan beri pertolongan sekiranya diperlukan,” katanya.
Bagi jurujual, James Hum, program BUDI95 memberi impak ketara terhadap penjimatan perbelanjaan hariannya.
“Saya tengok program ni, saya dapat 300 liter. Kalau tak silap, boleh jimat dalam RM20 ke RM30. Dengan penjimatan tu, boleh beli set makan segera atau bahan makanan lain,” katanya.
Sementara itu, penduduk Langkawi, Zamri Ibrahim, berkata setakat ini tiada masalah dihadapi semasa mengisi minyak sama ada menggunakan MyKad atau aplikasi rasmi stesen minyak.
“Setakat ini, memang tiada masalah untuk mengisi petrol. Dah dua kali isi pun mudah dan cepat,” katanya.
Bagi penunggang motosikal, Fakrullah, penjimatan yang diterima walaupun kecil tetap memberi manfaat.
“Minyak ok, tadi saya bayar RM7.00 tapi dapat nilai RM9.15, maknanya lebih RM2.00. Lebih sikit pun seronok, RM1 lebih pun okey,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Nadia Ramli, turut berpuas hati dengan kelancaran sistem yang digunakan.
“Setakat ini tiada masalah. Asalkan MyKad boleh dibaca, semuanya berjalan lancar,” katanya.
Manakala pelancong, Mohamad Zainudin Musa, menyifatkan langkah kerajaan menurunkan harga minyak menerusi subsidi bersasar sebagai langkah tepat dalam meringankan beban rakyat.
“Baguslah sebab dulu minyak mahal, sekarang dah murah sikit. Okey la bagi pak cik,” katanya.
Terdapat juga stesen minyak yang menyediakan seorang pekerja di pam untuk membantu orang ramai yang belum mahir menggunakan MyKad untuk menikmati harga subsidi.
Pemerhatian juga mendapati tiada pelanggan beratur panjang di kaunter luar mahupun dalam termasuk jumlah kenderaan adalah seperti biasa.
Pengguna yang ditemui sangat gembira dan berpuas hati dengan sistem yang digunakan kerana mudah dan praktikal.