
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Golongan Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya mereka yang mengalami masalah penglihatan, lebih terdedah kepada risiko kemalangan di kawasan perairan seperti sungai, tasik, pantai dan kolam renang.
- UPNM lancar 'Splash of Confidence 3.0' untuk memperkasa OKU penglihatan melalui pendidikan keselamatan air dan akses aktiviti air.
- Program holistik gabungkan modul keselamatan air, kemahiran renang asas dan formasi angka 75 sempena ulang tahun MAB dan UPNM.
- Peserta dipilih melalui kolaborasi bersama MAB; pelajar UPNM bertindak sebagai fasilitator dan program sehari akan menghimpunkan 75 peserta.
Sehubungan itu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tampil dengan inisiatif membantu golongan OKU penglihatan menerusi program ‘Splash of Confidence 3.0’.
Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pascasiswazah), Akademi Kecergasan Pertahanan UPNM, Dr. Noor Hamzani Farizan, program itu dianjurkan bagi memberi pendedahan mengenai keselamatan di air kepada peserta, selain memastikan golongan tersebut menikmati akses dan peluang yang sama seperti masyarakat lain.
“Kita pilih golongan orang kurang upaya penglihatan kerana mereka juga berhak untuk mendapat akses ataupun pendidikan kepada keselamatan di air dan mereka juga berhak untuk menikmati aktiviti di air seperti orang lain” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di sini.
Menurut beliau, program siri ketiga ini akan dilaksanakan secara holistik dengan gabungan modul keselamatan air dan kemahiran asas renang, selain mempersembahkan formasi angka 75 di dalam kolam renang UPNM sempena ulang tahun ke-75 Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) dan ulang tahun ke-20 UPNM.
Peserta akan dipilih melalui kolaborasi bersama MAB sejak 2023, dengan pelajar UPNM yang mengikuti kursus kemahiran asas renang bertindak sebagai fasilitator.
“Program sehari itu akan menghimpunkan 75 peserta OKU penglihatan, katanya lagi.