
PUTRAJAYA, 12 Jun – Proses pendaftaran MyDigital ID di kios diperkukuh menerusi pengenalan lapisan keselamatan tambahan yang membolehkan semakan biometrik wajah secara masa nyata dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
- MKN memperkenalkan lapisan keselamatan tambahan untuk memperkukuh pengesahan identiti dan mengurangkan risiko penyalahgunaan serta akses tidak sah.
- Pelaksanaan berlaku secara berperingkat, penyelenggaraan kios dijadual dan orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi MyDigital ID.
- Langkah ini sebahagian usaha menyeluruh bersama agensi bagi melindungi identiti digital berikutan peningkatan ancaman penipuan dan eksploitasi siber.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan langkah itu bertujuan memperkukuh ketepatan pengesahan identiti selain mengurangkan risiko penyalahgunaan identiti dan akses tidak sah.
Penambahbaikan itu akan dilaksana secara berperingkat sebelum diperluas ke semua kios MyDigital ID di seluruh negara.
“Bagi membolehkan kemaskini dilaksana, kerja penyelenggaraan kios MyDigital ID dijadual berlangsung mulai 12 Jun, pukul 6 pagi hingga 14 Jun, pukul 6 pagi.
“Sepanjang tempoh itu, orang ramai masih boleh mendaftar MyDigital ID menerusi aplikasi MyDigital ID yang boleh dimuat turun melalui App Store, Google Play dan Huawei AppGallery,” menurut kenyataan itu.
Pengguna sedia ada akan dimaklumkan mengenai keperluan pengesahan semula biometrik wajah secara berkala sebagai sebahagian usaha berterusan untuk memastikan integriti dan keselamatan identiti digital sentiasa terpelihara.
MKN turut memaklumkan, penambahbaikan berkenaan merupakan sebahagian usaha memperkukuh keselamatan ekosistem identiti digital negara secara menyeluruh.
“Kerjasama dengan agensi berkaitan akan terus dilaksana bagi menyelaras langkah pengukuhan keselamatan merentasi pelbagai platform identiti dan pengesahan identiti termasuk MyKad demi memastikan identiti digital rakyat sentiasa dilindungi,” menurut kenyataan itu lagi.
Jelas MKN, keperluan melindungi identiti digital menjadi semakin kritikal selaras peningkatan penggunaan perkhidmatan digital dalam kalangan rakyat, perniagaan dan agensi kerajaan.
Ancaman penipuan dalam talian, penyamaran identiti, kecurian data dan eksploitasi siber juga menuntut langkah lebih proaktif bagi memastikan keselamatan pengguna serta keyakinan terhadap ekosistem digital negara terus terpelihara.