fb fb fb fb fb

SPAN cadang langkah tingkat kecekapan penggunaan air

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mencadangkan beberapa langkah jangka panjang bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air di pusat data / Foto Hiasan / Bernama

CYBERJAYA, 21 Januari – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mencadangkan beberapa langkah jangka panjang bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air di pusat data.

Ini sebagai usaha memastikan bekalan air mampan dan mencukupi untuk menyokong sektor ekonomi digital yang pesat berkembang.

Pengerusi SPAN, Charles Anthony Santiago berkata cadangan itu melibatkan pelaksanaan teknologi dan pendekatan inovatif yang dapat mengoptimumkan penggunaan air.

“Sebelum memberi kelulusan kepada mana-mana pusat data, kajian penilaian impak alam sekitar perlu dijalankan. Lokasi yang dipilih mestilah mempunyai sumber air mencukupi untuk memenuhi keperluan pusat data, serta pengguna domestik, kilang, restoran, dan perniagaan lain di kawasan sekitar,” katanya kepada pemberita, di sini.

Antara langkah yang dicadangkan ialah penggunaan air pulih guna, teknologi penyejukan yang efisien, dan sistem pengumpulan air hujan.

Anthony turut memaklumkan, SPAN turut mencadangkan dasar kerjasama antara kerajaan dan pelbagai agensi bagi menguruskan permintaan bekalan air yang semakin meningkat antara pengguna domestik dan pusat data.

Dengan langkah-langkah tersebut, beliau percaya pusat data dapat mengurangkan penggunaan air sambil meningkatkan keberkesanan operasi mereka.

Dalam masa yang sama, Anthony turut memaklumkan pihaknya sedang meneliti pelbagai aspek dan merangka mekanisme serta peraturan berkaitan bagi merealisasikan usaha tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN