SMAR perkasa pendidikan Orang Asli

Usaha memperkasa pembangunan modal insan dan pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Perak

SUNGAI SIPUT, 30 Jun -Pendidikan merupakan kunci utama membuka pintu kemajuan, membentuk akhlak, memperkukuh jati diri serta mengangkat martabat sesebuah masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Titah Sultan Nazrin: pendidikan berasaskan intelek, rohani, emosi dan jasmani membentuk insan berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.
  • Penubuhan SMAR Orang Asli Nurul Hidayah sebagai mercu tanda memperkasakan modal insan serta pendidikan Islam di kalangan masyarakat Orang Asli Perak.
  • MAIPk komited memastikan setiap anak tanpa mengira latar belakang mendapat peluang sama menimba ilmu dan membina masa hadapan.

Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, proses berkenaan memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh serta bersepadu bertujuan melahirkan insan berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.

“Berasaskan empat dimensi utama iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani, mendidik bukan sekadar memindahkan ilmu pengetahuan dan maklumat semata-mata, mendidik adalah mengajar, melatih dan mengasuh dalam membentuk peribadi serta sahsiah dengan ilmu pengetahuan dan nilai-nilai agama untuk memberi manfaat kepada diri dan orang lain,”titah Baginda ketika merasmikan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR Orang Asli) Nurul Hidayah, di Kampung Kenang, di sini.

Turut berkenan berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Titah Sultan Nazrin lagi, penubuhan sekolah tersebut merupakan mercu tanda penting dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan dan pendidikan
Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Perak.

“Ia juga disifatkan sebagai manifestasi komitmen Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) membantu memastikan setiap anak tanpa mengira latar belakang mempunyai peluang sama menimba ilmu, membina masa hadapan dan akhirnya memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara,”titah Baginda.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan melawat ruang pameran, meninjau bangunan sekolah dan meluangkan masa menyantuni masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.