
SHAH ALAM, 30 Jun– Program Salam Baitullah musim ke-18 mencatat sejarah apabila meraih lebih 19 juta tontonan merentasi pelbagai platform penyiaran.
- Televisyen kekal platform utama dengan 16.2 juta tontonan.
- Tontonan meningkat lebih empat kali ganda berbanding hampir lima juta musim ke-17.
- Memperkenalkan segmen Istiqamah dan tema Jihad Yang Terindah; sambutan positif, terutamanya Generasi Z.
Pencapaian itu merupakan jumlah tontonan tertinggi sejak program berkenaan mula diterbitkan pada 2009.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, televisyen kekal menjadi platform utama dengan merekodkan 16.2 juta tontonan.
Baki tontonan disumbangkan menerusi media sosial serta platform RTMKlik.
“Pencapaian bersejarah ini menyuntik keyakinan kepada pasukan penerbitan RTM untuk melangkah lebih jauh.
Sambutan luar biasa itu juga memberi gambaran masyarakat mahukan kandungan yang mengisi jiwa serta menekankan pemantapan kerohanian, bukan hanya berkisar mengenai musim haji, tetapi bagaimana mengekalkan kekuatan dalaman selepas kembali dari Tanah Suci,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Salam Baitullah Musim Ke-18, di sini.
Menurut beliau, sambutan menggalakkan daripada golongan muda, khususnya Generasi Z, turut membuktikan minat mereka terhadap kandungan berteraskan ilmu, nilai kemanusiaan dan kerohanian semakin meningkat.
Program yang bersiaran selama 16 episod itu turut memperkenalkan segmen baharu, Istiqamah.
Segmen berkenaan memberi penekanan kepada kepentingan mengekalkan perubahan diri serta meneruskan penghayatan kerohanian selepas pulang dari Tanah Suci.
Sepanjang musim ini, Salam Baitullah mengangkat tema Jihad Yang Terindah yang menumpukan kepada usaha memperbaiki diri, memelihara akhlak, mengawal nafsu dan membentuk masyarakat yang lebih harmoni.
Jumlah tontonan musim ke-18 meningkat lebih empat kali ganda berbanding hampir lima juta tontonan yang direkodkan pada musim ke-17 tahun lalu.