Letupan di Narathiwat : Dua rakyat Malaysia yang cedera, dibawa pulang

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus memantau perkembangan kes / Foto Rantau Panjang Post

PUTRAJAYA, 30 Jun – Dua rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian peranti letupan buatan sendiri (IED) meletup di Narathiwat, Thailand semalam, selamat dibawa pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan lanjut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dibenarkan keluar dari Hospital Naradhiwas Rajanagarindra dan diiringi ke sempadan Sungai Golok Rantau Panjang.
  • Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menyelaras urusan bersama pihak berkuasa di Rantau Panjang bagi melancarkan pemeriksaan imigresen.
  • Selesai urusan sempadan, mangsa dibawa ke hospital di Kelantan untuk menerima rawatan lanjut.
  • Kementerian menghargai bantuan Kerajaan Thailand; Konsulat Jeneral di Songkhla akan terus memantau perkembangan kes.

Kenyataan Kementerian Luar memaklumkan, kedua-dua mangsa dibenarkan keluar dari Hospital Naradhiwas Rajanagarindra dengan bantuan pihak berkuasa tempatan sebelum diiringi ke sempadan Sungai Golok–Rantau Panjang.

“Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla turut menyelaras urusan bersama pihak berkuasa berkaitan di Rantau Panjang bagi melancarkan proses pemeriksaan imigresen di sempadan Malaysia-Thailand.

“Selesai urusan berkenaan, kedua-dua mangsa dibawa ke sebuah hospital di Kelantan untuk menerima rawatan lanjut,” menurut kenyataan berkenaan.

Kementerian Luar turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand serta pihak berkuasa tempatan di Narathiwat atas bantuan dan kerjasama dalam memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang terlibat.

Pada masa sama, kementerian memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus memantau perkembangan kes berkenaan.

Rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke wilayah selatan Thailand turut dinasihat supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.