Dewan Rakyat lulus RUU perluas bidang kuasa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Jun– Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperluas bidang kuasa undang-undang terhadap kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang dilakukan di luar negara.
  • Pindaan Seksyen 3 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) mengiktiraf kesalahan luar negara sebagai kesalahan Malaysia.
  • Negara tempat kesalahan berlaku kekal bidang kuasa utama; Malaysia tidak secara automatik mengendalikan semua kes luar negara.
  • Pihak berkuasa akan bekerjasama melalui saluran antarabangsa untuk elak pertindihan prosiding dan memastikan pelaku tidak terlepas tindakan undang-undang.

Ia bertujuan memperluas bidang kuasa undang-undang negara terhadap kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak yang dilakukan di luar negara.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 25 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, pindaan terhadap Seksyen 3 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] akan membolehkan kesalahan yang dilakukan di luar negara dianggap sebagai kesalahan di Malaysia.

“Perkara ini adalah selaras dengan peruntukan perenggan 6(2) Akta Ekstradisi 1992 [Akta 479].

Ia memperuntukkan bahawa bagi kesalahan pemakaian luar wilayah, syarat dwijenayah dipenuhi jika kesalahan itu boleh dihukum di bawah undang-undang Malaysia sekiranya ia berlaku dalam keadaan yang bersamaan di luar Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, pindaan itu tidak bermakna Malaysia akan secara automatik mengendalikan semua kes yang berlaku di luar negara.

Sebaliknya, negara tempat kesalahan itu berlaku masih mempunyai bidang kuasa utama untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan mengikut undang-undang masing-masing.

“Dengan kata lain, kedua-dua bidang kuasa masih perlu mengiktiraf perlakuan tersebut sebagai satu kesalahan walaupun tidak semestinya di bawah nama atau peruntukan yang sama,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya laporan dibuat di kedua-dua negara, pihak berkuasa akan berunding dan bekerjasama melalui saluran kerjasama antarabangsa.

Ia bagi menentukan tindakan yang paling sesuai berdasarkan fakta kes, keterangan, lokasi saksi dan kepentingan keadilan.

Katanya, langkah itu bertujuan mengelakkan pertindihan prosiding serta memastikan pelaku tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Menurut beliau, pindaan itu antara usaha kerajaan memperkukuh undang-undang negara.

Ia selaras dengan komitmen antarabangsa bagi melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi dan penderaan seksual, termasuk yang melibatkan elemen rentas sempadan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.