
JOHOR BAHRU, 30 Jun – Konflik geopolitik di Asia Barat belum memberi kesan ketara terhadap operasi pengeluaran industri makanan, termasuk penghasilan roti.
- KPDN menjalankan pemantauan dan libat urus untuk memastikan impak logistik serta bekalan bahan mentah tidak menjejaskan kehidupan dan hak pengguna.
- Tinjauan kilang di Bukit Kempas mendapati kenaikan kos akibat gangguan masih minimum dan mampu diserap pengilang tanpa dipindah kepada pengguna.
- KPDN memantau timbang sukat, rantaian bekalan dan meneruskan libat urus dengan pemain industri bagi lindungi hak pengguna serta kestabilan bekalan makanan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pemantauan libat urus dilaksanakan bagi memastikan sebarang impak kepada logistik dan bekalan bahan mentah tidak menjejaskan kehidupan serta hak pengguna.
Beliau berkata, hasil tinjauan di kilang pembuatan roti di Bukit Kempas, Johor mendapati sebarang peningkatan kos akibat gangguan logistik dan bekalan bahan berkaitan petrokimia masih berada pada tahap minimum serta mampu diserap pihak pengilang.
Keadaan itu sekali gus memastikan kenaikan kos tidak dipindahkan kepada pengguna.
“Pada masa yang sama KPDN juga memantau menerusi perintah perihal dagangan berkenaan dengan timbang sukat supaya berat setiap produk itu bertepatan seperti yang dipamerkan dan sebagainya.
“Jadi ini semua tugas KPDN dalam memastikan bahawa hak pengguna itu dilindungi di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan”, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke sebuah kilang pembungkusan roti di Taman Perusahaan Ringan Pulai, Bukit Kempas, Johor Bahru, hari ini.
Selain itu, pihak KPDN akan terus memantau rantaian bekalan bagi memastikan bekalan makanan kekal stabil, disamping melindungi hak pengguna.
Tambahnya, sesi libat urus bersama pemain industri akan diteruskan bagi mengenal pasti cabaran yang dihadapi serta mencari penyelesaian secara bersama.