fb fb fb fb fb

Skim pelaburan tidak wujud, mangsa kerugian lebih RM31 juta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 30 April- Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menerima 214 aduan berkenaan skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan oleh sebuah syarikat.

Kebanyakan mangsa merupakan warga emas berbangsa Melayu dan Cina.

Setiausaha Kerja MHO Izzat Izzuddin Idris dalam satu kenyataan berkata, kerugian dianggarkan berjumlah RM31,390,114.13.

"Konsep pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut menjanjikan satu pulangan dividen yang lumayan serta manfaat-manfaat lain yang dijanjikan syarikat berkenaan adalah tidak benar dan tidak wujud," katanya.

Modus operandi yang dilakukan oleh syarikat berkenaan adalah mengenal pasti pelanggan yang berminat untuk melakukan pelaburan.

Selain itu mangsa akan ditawarkan pelbagai bentuk pelaburan dengan pelbagai nama bagi mengaburi mata.

Pada masa sama pengadu ingin pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan ke atas syarikat tersebut.

"Pengadu telah pun membuat laporan polis dan penyataan tambahan berkenaan dengan permasalahan yang dihadapi.

"Kertas siasatan sudah pun dibuka dan disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) diharap supaya melakukan pertuduhan secara berasingan ke atas laporan berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI