
KUALA LUMPUR, 9 JULAI – Caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kekal mandatori bagi pekerja asing dan akan terus dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
- Pekerja tempatan diberi pilihan untuk mencarum di bawah Skim LINDUNG 24 Jam secara sukarela.
- PERKESO akan mengumumkan mekanisme serta proses penyertaan sukarela untuk pekerja tempatan dalam tempoh terdekat.
- Skim dianggap inisiatif penting menyediakan perlindungan keselamatan sosial untuk kemalangan di luar waktu dan tempat kerja.
- Kementerian akan menilai semula pelaksanaan, keberkesanan dan kemampanan dana menjelang penghujung tahun, mungkin dicadangkan pindaan Akta 1969.
Pekerja tempatan pula boleh memilih sama ada ingin mencarum di bawah Skim LINDUNG 24 Jam mengikut keperluan dan pertimbangan masing-masing.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat Jemaah Menteri selepas meneliti pandangan rakyat berhubung pelaksanaan skim berkenaan.
“Mekanisme pelaksanaan serta proses penyertaan secara sukarela bagi pekerja tempatan akan diumumkan oleh PERKESO dalam tempoh terdekat,” katanya.
Tambah Datuk Seri Ramanan, walaupun pelaksanaan skim itu kini bersifat sukarela bagi pekerja tempatan, ia kekal sebagai inisiatif penting yang menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja sekiranya mengalami kemalangan di luar waktu dan tempat kerja, termasuk ketika menjalankan aktiviti harian.
Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya akan meneliti semula mekanisme pelaksanaan skim berkenaan menjelang penghujung tahun, termasuk aspek hala tuju dasar, keberkesanan pelaksanaan serta kemampanan dana bagi memastikan LINDUNG 24 Jam terus memberi manfaat kepada rakyat.
“Sekiranya diperlukan, hasil penelitian itu akan dibentangkan di Parlimen bagi cadangan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” ujarnya.
PERKESO turut memaklumkan bahawa pihak mereka akan terus memperkukuh kesedaran rakyat mengenai manfaat skim itu serta kepentingan perlindungan sosial.
Terdahulu, kerajaan memutuskan caruman LINDUNG 24 Jam di bawah pertubuhan itu tidak lagi diwajibkan kepada pekerja tempatan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.